Wednesday, 23 July 2014

Entri #7: Majlis Perkahwinan Idaman Saya

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamua'laikum semua! ☺️

Aduuuh, apalah nasib saya. Baru berumur 17 tahun sudah perlu memikirkan tentang majlis perkahwinan. Aaaaaaah, sungguh, saya tidak bersedia! Saya sangat tertekan apabila disuruh untuk menulis blog entri mengenai tajuk ini! (BACA: Ini hiperbola sahaja, ya!) Namun, demi mendapat 20%, saya sanggup! 

Hmm, majlis perkahwinan idaman saya ya? 

Majlis pihak saya dan pihak lelaki diadakan di tempat yang sama tetapi pada hari yang berlainan

Pada pendapat saya, lebih baik sekiranya kededua pihak mengadakan majlis di tempat yang sama. Pertama, ia lebih menjimatkan kos kerana tema dan perhiasannya tidak berubah. Kedua pula, ia lebih mudah kerana akhirnya satu tempat sahaja yang perlu dibersihkan.

Majlis diadakan di dewan yang berhawa dingin

Bukankah lebih baik dan selamat jika majlis itu diadakan di tempat yang tertutup? Sekiranya cuaca pada hari tersebut panas terik ataupun hujan lebat, perkara itu pasti tidak akan menjadi masalah. Soal saiz dewan pula, sebaiknya dewan tersebut bersaiz sederhana sahaja, tidak begitu kecil dan tidak terlalu besar.

Majlis tersebut tidak terlalu gah atau mewah 

Biarlah perhiasannya cukup untuk menyambut para tamu. Maksudnya, ia tidak terlalu keterlaluan. Saya sukakan majlis yang bertemakan pastel atau warna yang lembut.


Cantik bukan warna pastel? Jangan salah faham, gambar tersebut sekadar contoh bagi warna pastel, bukan bermaksud bahawa saya ingin menghidangkan macaroons di majlis saya. Hehehehe :-P

Tidak ada upacara persandingan, tabur beras, dan sebagainya 

Ini juga bermaksud bahawa saya tidak akan duduk di atas pelamin. Sebaliknya, saya akan berjalan-berjalan melayan para tamu yang terdiri daripada kaum wanita. Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa saya tidak ingin mengadakan sedemikian? Sebenarnya, acara tabur beras dan lain-lainnya bukanlah dalam agama. Ia merupakan adat istiadat kaum India yang kemudian dilakukan oleh Masyarakat Melayu juga. 

Jamuan hadirin dan hadirat dipisahkan 

Saya tidak begitu kisah bagaimana cara kedudukannya, samada kaum Adam di bahagian kanan dan kaum Hawa di bahagian kiri, atau sebaliknya. Asalkan ia dipisahkan, ya! 


Tidak ada alunan muzik atau Deejay

Aaahhh, itu sudah semestinya! Mengapa? Bagi saya, lebih meriah sekiranya majlis itu diisi dengan melayan para tamu dan undangan, daripada memainkan lagu-lagu sepanjang masa. Sekiranya ada nyanyi-nyanyian, pasti sukar bagi saya untuk berkenalan dengan kenalan si dia! (Haha!) :-P

Bagi saya, biarlah majlis yang diadakan sederhana sahaja. Lebih baik sekiranya wang yang selebihnya dibelanjakan untuk menjamu para tamu. Bukankah itu matlamat walimah atau majlis diadakan? Pertama, untuk mengiklankan perkahwinan kepada kenalan-kenalan dan kedua, menjamu saudara mara dan sahabat handai.  


Mungkin keadaan majlis perkahwinan saya boleh digambarkan seperti di atas, hanya bahagian pelamin sahaja yang tidak wujud. Kemungkinan besar juga, bahagian tengah akan ditutup dengan tabir.

Walaubagaimanapun, saya hanya merancang tetapi Allah yang menentukan. Siapa tahu saya akan mengubah fikiran saya pada masa mendatang, betul tidak?

Akhir kata, kepada Cikgu Nir yang bakal melangsungkan pernikahan serta majlis perkahwinannya, jangan lupa untuk menjemput kami sekelas ya Cikgu! Hehehehe :-* 

Sehingga kita bertemu lagi, Assalamua'laikum! ☺️

Salam sayang, 
Al-Faqeerah

No comments:

Post a Comment