Assalamua'laikum semua. :)
Bagi saya, kepentingan pendidikan tidak dapat diukur kerana ia merupakan satu perkara yang mandatori. Justeru, ia amatlah penting. Memang benar, tanpa ibu bapa, siapalah kita? Tetapi jangan lupa, tanpa pendidikan juga, siapalah kita? Mungkin seorang pengemis di tepi jalan atau seorang penyapu sampah. Mungkin juga lebih teruk dari mereka kerana kadangkala, seorang pengemis dan seorang pembersih juga mempunyai pendidikan.
Islam telah mewajibkan penuntutan ilmu bagi setiap penganutnya.
Apakah dengan adanya suruhan ini, kita masih mahu bermalas-malasan dalam menuntut ilmu?
Perkara yang membuatkan saya ingin terus mengejar impian saya untuk menjadi seorang pensyarah adalah apabila melihat ramai orang di sekeliling saya berjaya. Saat itu, timbul perasaan cemburu terhadap diri mereka.
Sekiranya mereka boleh, mengapa tidak saya?
'Saya tidak sepandai awak', 'Saya bodoh', 'Awak itu lain, saya lain' adalah alasan-alasan yang tidak boleh diterima. Setiap orang mungkin dilahirkan dengan keupayaan yang berbeza tetapi tidak bererti bahawa mereka semua tidak boleh berjaya bersama-sama. (Ceyh, mendalam benar kata-kata saya ini!) :-P
DUNIAWI VS UKHRAWI
Secara peribadi, saya berpendapat bahawa setiap orang Islam harus diberi kebebasan untuk mendalami mana-mana bidang, samada duniawi mahupun ukhrawi. Hanya satu sahaja, jangan terlalu sibuk mengejar ilmu dunia tetapi ilmu akhirat ditinggalkan. Begitu juga sebaliknya, jangan hanya mempelajari ilmu akhirat sehingga tidak peka akan isu-isu semasa. Biarlah seimbang, itulah yang sebaiknya.
Sesungguhnya ilmu Allah itu amatlah luas, bukan sekadar ilmu agama sahaja. Maka dalam kamus hidup saya, tidak ada istilah 'berhenti belajar' kerana walaupun seseorang itu sudah tamat pengajiannya di universiti mahupun kolej, ia tidak bermaksud bahawa dia sudah mendalami setiap bidang ilmu.
Semenjak kecil, ibu bapa saya telah memberikan saya pendidikan yang cukup sempurna. Tatkala ini, saya berasa amat bersyukur kerana jika dibandingkan dengan anak-anak di negara-negara lain, ada diantara mereka tidak mendapat sebarang pendidikan sebaliknya, dipaksa untuk berkahwin pada usia muda, bekerja dan sebagainya.
Salam sayang,
Al-Faqeerah
No comments:
Post a Comment