Wednesday, 23 July 2014

Entri #6: Gambar Haiwan Yang Saya Ingin Jadikan Haiwan Peliharaan

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamua'laikum semua. 

Buat pengetahuan semua, dahulu, saya pernah memelihara beberapa binatang peliharaan. Sahabat karib saya, Wisyah, pernah menghadiahkan kepada saya dua ekor tikus belanda yang kemudiannya melahirkan dua lagi anak jantan tetapi akhirnya, kesemuanya mati selepas tiga tahun hidup. Saya juga pernah memelihara banyak ikan sehingga tidak terkira bilangannya. Namun, kisah hidup mereka sangat menyedihkan tetapi pada masa yang sama, amat melucukan. Saya tidak tahu di mana salahnya tetapi hampir kesemua ikan-ikan saya mati akibat melompat keluar dari tangki ikan. Hahaha!

Hendak tahu apakah binatang peliharaan yang saya inginkan?

Haaah, kuda menjadi binatang peliharaan idaman saya kerana pada pendapat saya, ia amatlah cantik! Lihatlah gambar di bawah ini. Cantik, bukan? 


Mengapa tidak binatang lain? 

Saya sukakan binatang yang boleh dipeluk, ditunggang dan dimandikan dengan air. Sewaktu saya memelihara tikus belanda dahulu, saya tidak boleh memandikannya dengan air selalu. Bagi saya, waktu mandi merupakan salah satu waktu yang paling seronok untuk bermain dengan binatang peliharaan.

Sebenarnya, kucing adalah haiwan yang menepati citarasa saya. Tetapi, pada pendapat saya, ia kelihatan comel sewaktu ia kecil sahaja. Apabila ia sudah membesar, ia tidak comel lagi. Memang tidak dapat dinafikan bahawa arnab juga sangat comel! Namun, jujur saya katakan, saya sebenarnya takut untuk mendukung haiwan yang berbulu lebat. Saya hanya boleh memerhatikannya dari jauh atau mengusap-usap bulunya sahaja. 

Ketika saya berada di darjah 5 dahulu, saya pernah melancong ke Negeri Sembilan bersama keluarga saya dan membuat lawatan ke kandang kuda. Namun, disebabkan saya masih kecil dan rendah, saya hanya boleh menaiki kereta kuda. Saya sangat cemburu apabila kakak saya berpeluang untuk menunggang kuda! Disebabkan itu juga, setiap kali saya ke negara Malaysia, saya pasti berdoa bahawa kawasan penginapan saya berhampiran dengan kandang kuda dengan harapan saya dapat menunggangnya.  


Saya selalu bayangkan hari petang saya diisi dengan sesi menunggang kuda. Seronoknya! Hmm, kalaulah rumah-rumah di Singapura besar-besar belaka sehingga para penduduknya dibenarkan untuk memelihara kuda... (Mimpi sahajalah nampaknya!)

Pernah saya terfikir untuk ke Gallop Stable yang bertempatan di Punggol untuk mencuba aktiviti menunggang kuda. Tetapi, apabila memikirkan tentang harganya, rasanya lain kali sahaja ya? ;-P 

Sehingga di sini sahaja. Nantikan entri saya yang seterusnya, ya! ☺️

Salam sayang, 
Al-Faqeerah

1 comment:

  1. Salama sejahtera awak, bahasa awak bagus tetapi masih boleh diperbaiki lagi. Waaah, saya selalu melihat kuda tetapi saya tidak pernah megetahui apakah nama setiap jenis kuda itu. Tentu seronok ya haiwan yang awak inginkan?. Saya harap awak dapat memeliharanya pada masa akan datang :)

    ReplyDelete