Bismillahirrahmanirrahim...
"Selama-lamanya kelembutan tidak akan pernah tewas dengan kekerasan"
Assalamualaikum semua. Bertemu kembali dalam entri kedua saya. Pertama dan utama, saya ingin memohon maaf atas kelewatan saya dalam mengemaskinikan blog saya. 😞
Sepanjang beberapa hari yang lalu, saya telah mengikuti program perkhemahan di masjid serta melakukan aktiviti penglibatan masyarakat atau lebih dikenali dengan CIP. Disebabkan itu, saya tidak berkesempatan untuk menukil di ruangan Blog ini.
Namun, in shaa Allah dalam entri saya kali ini, saya akan menceritakan sedikit sebanyak tentang lagu kegemaran saya.
Sebelum itu, saya ingin membuat satu pengakuan. Terus terang saya katakan, tajuk pertama ini menyebabkan saya sukar untuk membuat keputusan. Manakan tidak, sebenarnya, saya tidak mempunyai sebarang lagu kegemaran kerana saya tidak begitu kerap mendengar lagu dan tidak begitu suka mendengar muzik. Sekiranya saya mendengar, saya suka mendengar himpunan doa-doa alunan kumpulan UNIC.
Namun, usah khuatir mahupun bimbang, saya telah pun membuat keputusan untuk memilih sebuah lagu yang pernah menjadi lagu kegemaran saya ketika saya di menengah 3. Hendak tahu apakah lagu itu?
Jeng jeng jeng... Mempersembahkan lagu kegemaran saya, 'Warkah Cinta Berbau Syurga'!
Sebuah jiwa terbentang seluas Sahara
Tersimpan sejuta rasa cinta dan kecewa
Setiap untai kata yang termaktub
Sudah menjadi warkah cinta berbau syurga
Simpanan batinku hampir terbelah
Tidak berhimpun dua cinta dalam satu jiwa
Antara iman dan nafsu aku berjuang
Meraih mahkota cinta dari syurga
Biar beribu parut luka menghiris kalbu
Hanya keikhlasan cinta menjadi penawar
Sekalipun diriku terbuang di mata insan
Engkau Maha mengerti kekalnya cinta ku ini
Izinkan aku meniti diatas hamparan syurgamu
Bila saat ku pergi biarlah cintaku tetap di situ
Selama-lamanya kelembutan
Takkan pernah tewas dengan kekerasan
Lagu ini pernah menduduki carta pertama dalam hati saya suatu ketika dahulu. Ia merupakan lagu tema bagi drama 'Warkah Cinta' lakonan Heliza Helmi dan Imam Muda Nazrul. Saya benar-benar jatuh hati pada lagu ini di saat mendengarnya dalam episod pertama drama tersebut. Lagu ini dinyanyikan oleh Imam Muda Nazrul dan kumpulan UNIC.
Kalau diperhatikan liriknya, pasti anda semua dapat mengagak bahawa lagu ini bertemakan cinta, bukan? Sebenarnya, saya bukanlah seorang yang jiwang. Saya suka lagu ini bukan disebabkan makna di sebalik lirik tersebut tetapi saya suka akan nada dan intonasinya. Intonasinya agak tenang dan menenangkan.
Saya juga amat tertarik dengan aforisme "Selama-lamanya kelembutan takkan pernah tewas dengan kekerasan". Bagi saya, pepatah ini amat mendalam dan selari dengan konteks kehidupan hari ini. Ia membuat saya merenung kembali bahawa sesuatu yang diingini hanya dapat dicapai melalui kelembutan, bukan melalui kekerasan.
Rasulullah S.A.W. pernah bersabda kepada Saiyidatina Aisyah R.A. yang bermaksud:
"Wahai ‘Aisyah, sesungguhnya Allah itu Maha Lembut dan menyukai kelembutan. Allah memberikan pada kelembutan apa yang tidak Dia berikan pada kekerasan dan apa yang tidak Dia berikan pada yang lainnya.” (HR. Muslim no. 2593)
Para ulama' telah memberikan penjelasannya yang bermaksud:
"Dengan kelembutan itu seseorang akan meraih berbagai tujuan dan mudah mencapai apa yang diharapkan, yang mana tidak dapat diraih dengan sikap selainnya." (Syarah Shahih Muslim, 16/144)
Wallahu A'lam Bissowaab. Semoga kita dapat mengamalkan hadith serta pepatah tersebut dalam amalan harian kita, in shaa Allah.
Sehingga kita berjumpa lagi dalam entri seterusnya, Assalamua'laikum!
Salam sayang,
Al-Faqeerah